Pertama, apakah membenarkan perhimpunan Bersih 2.0 itu bermakna Bersih 2.0 itu bukan lagi pertubuhan haram? Akta apakah yang menghalalkannya?
Kedua, apakah perhimpunan di stadium itu membolehkan para penyokong datang ke stadium dengan baju Bersih 2.0?...adalah pelik pula seandainya perhimpunan boleh diadakan tetapi pengharaman pakaian itu masih kekal.
Ketiga, apakah perarakan di luar stadium tidak akan terjadi?...bagaimana pula keadaan konvoi bas dan kereta yang dipenuhi oleh penyokong-penyokong Bersih 2.0 yang datang daripada pelbagai arah? Tidakkah ia satu bentuk demonstrasi jalanan kerana ia berlaku di luar stadium?
Keempat, bagaimana dengan kedudukan lebih 100 orang yang telah ditahan atas pelbagai tuduhan berkaitan Bersih 2.0 seperti menghasut dan memilih baju berimej pertubuhan haram? Apakah mereka akan terus didakwa atau pendakwaan ke atas mereka digugurkan?
Kelima, apakah perhimpunan di stadium dapat menjamin tiada penglibatan pihak ketiga?
Keenam, tujuan asal Bersih 2.0 adalah untuk berarak menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong. Apakah perhimpunan di stadium menepati maksud asal iaitu berarak ke Istana Negara?
Ketujuh, apakah reaksi Perkasa dan golongan anti Bersih 2.0 termasuk pertubuhan silat? Hampir pasti mereka tidak akan hendak berhimpun di stadium yang lain pula. Jika demikian, apakah mereka akan terus berdiam diri?